RINA (dua dari kiri) bersama Ahmad Faizal menandatangani plak perasmian tapak Tabika KEMAS Desa Harapan di Kampung Kinjang, Chenderiang.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


TAPAH: Agenda pembangunan adalah penting dalam memastikan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi tanpa meminggirkan penduduk luar bandar.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sentiasa berusaha meningkatkan sistem penyampaian, menambah baik program sedia ada serta meneroka idea dan cadangan baharu yang boleh dilaksanakan untuk memberi faedah kepada masyarakat luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata pihaknya sudah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk memahami dan mendalami isu-isu berkaitan luar bandar di mana terdapat 7.87 juta penduduk luar bandar, termasuk 2.6 juta belia dan kira-kira 17,000 kampung yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, KPLB melancarkan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar (PHPLB) pada 29 Oktober lalu membabitkan perancangan pembangunan luar bandar untuk tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2023.

Katanya, pelan itu berdasarkan aspirasi rakyat seperti mana terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dengan mengandungi enam teras, 29 strategi dan 94 program merangkumi pembangunan infrastruktur, ekonomi, keusahawanan, modal insan, wanita dan sistem penyampaian.

“Melalui PHPLB, saya berharap pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara inklusif, mampu menaik taraf dan meningkatkan kualiti hidup serta memenuhi keperluan sosio ekonomi, fizikal, rohani dan sahsiah masyarakat luar bandar.

“Salah satu strategi di bawah pelan itu adalah menggalakkan pembabitan pihak swasta dalam pembangunan luar bandar dan mengambil kira strategi itu serta keperluan untuk mempercepat pembangunan luar bandar, maka lahirlah Program Desa Harapan,” katanya.

ORANG ramai mengunjungi pameran Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Program Desa Harapan, di Kampung Kinjang, Chenderiang di sini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Rina berkata, Desa Harapan pada dasarnya juga diberi perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjana pembangunan ekonomi mapan melalui jaringan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), badan badan korporat dan penduduk kampung.

Menurutnya, program baharu KPLB itu bertujuan membangunkan kampung bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar secara holistik melalui kerjasama strategik di antara pihak kementerian dan sektor swasta.

“Melalui program ini, kampung terpilih akan menjadi ‘kampung angkat’ syarikat korporat dan swasta, di mana program pembangunan sosio ekonomi akan dilaksanakan berdasarkan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kerjasama strategik ini bukan sahaja digalakkan di bawah era Malaysia Baharu ini, tetapi juga di peringkat antarabangsa di mana ia adalah salah satu agenda penting di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pembangunan
Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata, melalui Program Desa Harapan, syarikat swasta yang selama ini melaksanakan projek
CSR bersendirian terutamanya di kawasan kampung dapat diselaraskan bersama KPLB supaya penduduk dapat menjana pendapatan menerusi program bersesuaian.

“Jika kawasan kampung mempunyai sumber pendapatan yang berterusan, penduduk terutamanya golongan belia tidak lagi perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan seterusnya akan membolehkan proses kemajuan kampung dilaksanakan sendiri oleh penduduk.

“Desa Harapan ini direka khusus untuk menyediakan kepelbagaian bentuk sokongan dan bantuan berdasarkan kepada keperluan kampung mengikut kepakaran syarikat swasta atau rakan strategik yang terbabit,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 11:17 AM