WAN Afedizal menerima Toyota CH-R Serba Baharu yang dimenanginya.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


KUNJUNGAN hari terakhir ketika Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) memberi tuah kepada Wan Afedizal Wan Ariffin yang berjaya memenangi hadiah utama untuk cabutan bertuah yang ditawarkan.

Dia yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur menerima Toyota CH-R Serba Baharu yang diserahkan dalam satu majlis di Pusat Pameran UMW Toyota Motor, Petaling Jaya, hari ini.

Katanya yang berkunjung ke KLIMS18 untuk melihat model-model baharu yang dipamerkan dan bercadang untuk memilih dan menempah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

“Toyota CH-R antara yang menjadi pilihan namun harganya pula di luar daripada bajet saya, namun ketika majlis penutup saya diumumkan sebagai pemenang SUV crossover itu, rasa sangat bangga dan bertuah juga terima kasih kepada Toyota,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Toyota CH-R dijana dengan enjin 1.8 liter (AT) 7 kelajuan CVT dijual pada harga bermula RM150,000 dilancarkan untuk pasaran tempatan pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 9:26 PM