GAMBAR hiasan
Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my


MISTERI kehilangan remaja lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin selepas menjala ikan di Pantai Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di perairan Tanjung Dahan, hari ini.

Mayat Khairul Azhar Aziz, 19, ditemui sekumpulan nelayan, sebelum dibawa naik oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan pada jarak 0.4 Batu Nautika Tanjung Dahan, 11.35 pagi tadi.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud berkata, mayat mangsa berjaya diangkat dan dibawa naik ke Jeti Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar Kuala Linggi, 12.12 tengah hari.

“Pusat operasi APMM menerima laporan daripada nelayan mengenai penemuan mayat itu dan sekumpulan anggota digerakkan ke lokasi untuk membawanya naik.

“Pada masa sama, kita turut menerima laporan kehilangan seorang remaja yang kita percaya mempunyai kaitan dengan penemuan mayat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, pengecaman sudah dilakukan oleh ibu mangsa sebelum mengesahkan mayat adalah anak bongsunya yang dilaporkan hilang.

“Khairul Azhar dilaporkan hilang sejak keluar dari rumahnya untuk menjala ikan, kira-kira 10 pagi kelmarin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 8:12 PM