GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


MISTERI panggilan tidak berjawab selama dua hari akhirnya terungkai apabila wanita warga Vietnam ditemui mati di ruang tamu dalam rumah di Taman Duku, Juru, hari ini.

Sebelum itu, rakan senegara mangsa, Luong Thi Bac menghubungi mangsa, Thi Thuong Nguyen, 26, namun tidak dijawab hingga mendatangkan kebimbangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kebimbangan rakannya itu membuatkan dia pergi ke rumah didiami mangsa dan mendapati pintu rumah serta lampu terbuka.

“Rakan mangsa tidak terus masuk ke rumah sebaliknya menghubungi polis untuk siasatan.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati mangsa ditemui mati dalam keadaan berbogel sambil bahagian mukanya tertutup dengan kain tuala dan bantal yang terdapat kesan darah,” katanya dalam kenyataan, di Bukit Mertajam, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas rumah yang didiami mangsa turut menemui percikan darah di atas lantai dan bahagian dinding berdekatan sofa.

“Terdapat juga kesan luka pada tangan dan tikaman pada leher mangsa.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hingga tiga hari lalu memandangkan keadaan mayatnya yang sudah berbau,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan di sekitar kawasan mangsa ditemui maut tidak menemui sebarang kesan pergelutan kerana barang-barang berada dalam keadaan teratur.

“Polis percaya suspek adalah individu yang dikenali mangsa dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di bahagian belakang rumah kedai menghala kediaman didiami mangsa sebaik sahaja ia diperoleh.

“Menurut percakapan bersama pemilik rumah berkenaan, mangsa mula menyewa kediamannya sejak empat bulan lalu,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 7:40 PM