ANGGOTA polis mengiringi tiga remaja bawah umur yang didakwa menunggang secara berbahaya di Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF
Shaarani Ismail
shaarani@nstp.com.my


TIGA lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, awal bulan ini.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu dua daripadanya berusia 15 tahun manakala seorang lagi berusia 16 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bemban, Batu Gajah antara jam 9.40 malam 5 Disember lalu hingga jam 2.06 pagi 6 Disember lalu.

Mereka dituduh menunggang motosikal secara berbahaya terhadap orang awam mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Jika sabit kesalahan, lesen memandu mereka boleh dibatalkan atau tidak dibenarkan untuk mendapatkan lesen memandu dalam tempoh dua tahun daripada tarikh sabitan kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Farhana Hashim di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin yang dibuat secara tertutup.

Mahkamah menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan akhlak ketiga-tiga tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebelum hukuman dijatuhkan.

Mereka turut dibenarkan ikat jamin RM2,500 setiap seorang dengan masing-masing seorang penjamin.

Dua daripada tertuduh membayar wang jaminan berkenaan manakala seorang lagi dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak Pokok Sena, Kedah kerana gagal menyediakan wang jaminan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 1:25 PM