Caption<ANGGOTA bomba memeriksa keadaan lori dinaiki mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 316.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tapah, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


LELAKI maut selepas lori dipandunya merempuh belakang sebuah lori lain dalam kemalangan di Kilometer 316.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Tapah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa Abd Halim Rashid, 47, beralamat di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori lain berusia 25 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lori berkenaan dalam perjalanan dari selatan menghala ke utara.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lagi lori.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 11:58 AM