GAMBAR hiasan.
BERNAMA

MAYAT lelaki dengan keadaan sebelah kaki diikat pada motosikal ditemui di dalam Sungai Kinta di kawasan Sungai Galah, Kampung Gajah dekat Parit, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat tanpa baju dan hanya berseluar jean biru yang tersangkut pada pokok pada 6 petang Selasa.

“Selepas dibawa naik ke darat, mayat didapati diikat dengan tali pada kaki kanannya dan tali tersebut diikat pula pada sebuah motosikal Yamaha Kriss yang dipercayai dijadikan sebagai pemberat bagi menenggelamkan mayat.

“Identiti mayat dipercayai berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun, ketinggian 153 sentimeter dengan berat 50 kilogram itu belum dapat dipastikan kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa dan di kawasan sekeliling,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia dua hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang membengkak dan hasil pemeriksaan menemukan kesan kelar pada leher serta dua kesan luka di belakang kepala mangsa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik motosikal itu sudah meninggal dunia, jadi polis tidak pasti sama ada motosikal itu ada kaitan dengan mangsa atau tidak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 12:10 AM