Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my


DUA lelaki yang aktif melakukan samun di kedai 24 jam ditahan polis dalam serbuan di Pangsapuri Pauh Damai, Jalan Pauh, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam serbuan ‘Op Samun Kedai 24 jam’ itu, dua suspek berusia 26 dan 24 tahun itu ditahan selepas polis melakukan risikan dan juga maklumat berhubung kes samun di restoran makanan segera yang beroperasi 24 jam di Jalan Baru pada 11 Disember lalu.

Dalam kes samun jam 5.38 pagi itu, dua lelaki bersenjatakan parang, bertopi dan menutup muka menggunakan topeng melarikan wang tunai RM400.

Susulan daripada itu, polis melancarkan operasi memburu kedua-dua suspek selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek, 26, yang juga penganggur memiliki lapan rekod jenayah membabitkan kes samun.

Menurutnya, rakannya berusia 24 tahun yang juga lulusan diploma kejuruteraan mekatronik dari sebuah institut pengajian tinggi memiliki satu rekod jenayah berhubung pecah masuk kedai.

“Hasil siasatan lanjut, dua suspek itu mengaku mereka melakukan samun di restoran makanan segera terbabit serta beberapa lagi kedai yang beroperasi 24 jam sekitar daerah ini, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.

“Lebih mengejutkan apabila mereka turut mendakwa merancang mahu melakukan tiga lagi kes samun di kedai emas, stesen minyak dan kedai aksesori kereta,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, dua suspek terbabit mengaku sudah melakukan intipan di tiga kedai sasaran samun sejak seminggu lalu dan mahu melakukannya sebelum hujung bulan ini.

“Kita turut merampas pelbagai barang yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan samun.

“Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 5:46 PM
DUA lelaki yang aktif melakukan samun ditahan di Bukit Mertajam, semalam. FOTO Ihsan PDRM