Nurul Amanina Suhaini
cnews@nstp.com.my


“LONG, aku potong kek malam ni... esok petang kau balik kerja aku bagi kau rasa kek ni ye,” itu kata-kata terakhir Muhammad Ridwan Mohd Yasin, 26, pekerja FELCRA yang maut diserang gajah liar di Dusun Panti Batu 18, Jalan Johor Mersing, Kota Tinggi, petang semalam.

Arwah berkata demikian dalam perbualan terakhir bersama abang sulungnya, Mohamad Hairul Mohd Yasin, 36, menerusi WhatsApp selepas menyambut hari kelahiran ke-26 bersama isterinya, Siti Nadiah Mihat, 28, 12 tengah malam, semalam.

Mohamad Hairul berkata, lebih memilukan adik bongsunya itu meninggal dunia pada tarikh sama dengan arwah bapa mereka yang meninggal dunia akibat terjatuh daripada bumbung, empat tahun lalu.

Katanya, pesanan ringkas menerusi Whatsapp itu membuat hatinya sebak kerana tidak menyangka ia adalah perbualan terakhir adiknya bersama keluarga.

“Itu yang dia cakap menerusi Whatsapp terakhir kami: “Kalau kau balik kerja kau makan la kek ni.” Arwah sempat menyambut hari jadinya dengan isterinya pada 12 tengah malam dan pada sebelah petang dia mahu mengadakan sambutan dengan kawan-kawan di rumahnya.

“Kawan-kawan semua masak di rumahnya. Malah, rumah dengan tempat kerja pun dekat sahaja.. tak jauh,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mawai Baru, Kota Tinggi, hari ini.

Allahyarham Muhammad Ridwan sempat merasa makanan kegemarannya, kari kambing yang dimasak isterinya, selain bergurau mengenai percutian bersama yang dirancang awal tahun hadapan.

Siti Nadiah yang juga suri rumah berkata, maklumat mengenai kecederaan dialami suaminya diterima kira-kira 7 malam dan bergegas ke Hospital Kota Tinggi.

“Arwah seorang yang periang dan suka bergurau. Dia suka makan kari kambing dan saya sempat masak untuknya. Malah dia mengajak saya pergi beli bagasi baru sebagai persiapan untuk bercuti,” katanya.

Menurutnya, arwah yang juga anak bongsu daripada empat beradik sempat memenuhi impiannya memiliki kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton terpakai dan sempat menggunakannya selama 10 hari.

Sementara itu, penduduk kampung, Ahmad Amat, 59, berkata, ketika kejadian arwah bersama dua rakannya cuba menghalau gajah liar yang lalu sekitar kawasan berkenaan.

“Seorang daripada mangsa sempat melarikan diri, manakala seorang lagi cedera di paha. Malangnya, arwah tidak sempat melarikan diri kerana terjatuh ketika melarikan diri dari gajah liar itu.

“Ketika kejadian, saya berada di masjid untuk solat berjemaah sejurus menerima maklumat menerusi Whatsapp dan sebaik tahu ada yang parah, jemaah masjid melakukan solat hajat supaya diberi kesembuhan dan minta semuanya selamat.

“Ini adalah kejadian kali ketiga yang berlaku di kawasan ini sejak beberapa tahun lalu. Semoga keluarga mangsa tabah harungi dugaan dan ujian Allah,” katanya.

Berita berkaitan

Maut dipijak gajah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 5:17 PM
SITI Nadiah Mihat (tengah) menyiram air mawar di kubur arwah suaminya, Muhammad Ridwan Mohd Yasin yang maut diserang gajah liar ketika bertugas di kawasan ladang FELCRA Dusun Panti Batu 18, Jalan Johor Mersing, Kota Tinggi. FOTO Nurul Amanina Suhaini