ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP menyerbu stor simpanan barang berjenama tiruan, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


ANGGOTA penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terpaksa memecah pintu dua premis yang dijadikan sebagai stor barangan berjenama tiruan.

Dalam operasi oleh sepasukan pegawai serta anggota penguat kuasa KPDNHEP Shah Alam dan Kajang kira-kira jam 12 tengah hari semalam, lebih 5,000 barangan berjenama tiruan dianggarkan bernilai RM655,000 disita.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Azman Adam berkata, pihaknya membuat serbuan di premis terletak di Balakong dan Seri Kembangan dalam operasi membanteras barangan tiruan itu.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada pekerja di dalam kedua-dua premis terbabit menyebabkan anggota penguat kuasa terpaksa memecah pintu masuk premis untuk melakukan pemeriksaan.

“Sebaik dibuka, kedua-dua premis berkenaan dipenuhi dengan pelbagai barangan tiruan seperti kasut, baju dan seluar daripada jenama Adidas, Nike serta New Balance,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,851 barangan tiruan membabitkan Adidas, 1,356 barangan tiruan (Nike) dan 557 barangan tiruan (New Balance).

“Semua barangan dianggarkan bernilai RM655,854 terbabit disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula boleh didenda RM15,000 bagi setiap unit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 4:21 PM