Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari tahun depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari tahun depan manakala tarikh mengundi awal ditetapkan pada 22 Januari.

Beliau berkata, sebanyak 32,009 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada November lalu.

“Tempoh berkempen selama 14 hari dan kos bagi menjalankan PRK ini sebanyak RM3.5 juta,” katanya pada sidang media PRK P078 Parlimen Cameron Highlands di sini hari ini.

Beliau berkata, buat kali pertama dalam sejarah, SPR akan menyiarkan proses pengiraan undi PRK ini secara langsung melalui media sosial SPR seperti Facebook dan Instagram.

“Kita akan ambil kira kesesuaiannya di satu saluran di pusat mengundi yang dipilih. Usaha ini adalah sebagai pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai proses pengiraan undi semasa pilihan raya,” katanya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada Isnin lalu mengesahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kosong dan PRK bagi kawasan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Pengesahan itu dibuat selepas Mohamad Ariff menerima menerima makluman daripada SPR bahawa penyandangnya sebelum ini, Datuk C Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.


Azhar menyerahkan surat pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen P. 078 Cameron Highlands kepada Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis (kanan) selepas sidang media PRK Cameron Highlands. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 2:19 PM