Aizat Sharif
cnews@nstp.com.my


CUBAAN wanita warga Thailand cuba menyeludup dadah jenis syabu ke negara ini gagal apabila ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, Bukit Kayu Hitam, Ahad lalu.

Dalam tangkapan itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas syabu dianggarkan seberat 2.2 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM121,000 daripada suspek berusia 45 tahun.

Pengarah Kastam Kedah Datuk Johari Alifiah berkata, dalam kejadian pada 1.24 tengah hari, suspek dilihat meletakkan bagasinya untuk pemeriksaan di mesin pengimbas bagasi bagi pejalan kaki di kompleks berkenaan.

“Anggota kastam yang bertugas mengesan imej yang meragukan pada rakaman di mesin berkenaan.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat dua bungkusan berbalut pita pelekat berwarna coklat yang dilitupi oleh kertas keras berwarna kelabu disembunyikan di bahagian dalam di tepi kedua-dua belah bagasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Cawangan Pengurusan Sumber Manusia JKDM di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Katanya, anggota kastam bertindak membuka bagasi berkenaan dan menjumpai bungkusan serbuk kristal berwarna putih disyaki dadah jenis syabu (methamphetamine) dengan anggaran berat sebanyak 2.2 kg.


JOHARI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di Bukit Kayu Hitam pada sidang media, hari ini. Foto AMRAN HAMID

“Siasatan awal mendapati suspek adalah suri rumah dipercayai membawa bekalan dadah berkenaan dengan menaiki bas dari Bangkok ke Hatyai hari sebelumnya dengan menempuh perjalanan sejauh 944 kilometer sebelum menuju ke negara ini.

“Berdasarkan pasport suspek yang didaftarkan pada Mei lalu, ini adalah kali pertama suspek tiba di negara ini dan kita sedang siasat sama ada suspek menjadi ‘keldai dadah’ bagi sindiket yang berpusat di negara berkenaan,” katanya.

Katanya, rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM121,000 dan pihaknya kini sedang menyiasat destinasi pasaran dadah terbabit.

“Suspek direman selama 11 hari sehingga 27 Disember ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 1:34 PM