ZURAIDA Kamaruddin. FOTO Arkib NSTP
Nadia Hamid
nnadia@nstp.com.my


KETUA Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menafikan khabar angin beliau akan ‘lompat parti’ dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, berkata beliau bukan salah seorang Ahli Parlimen PKR, yang didakwa akan keluar parti bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, penafian itu turut membuktikan beliau tidak akan membuat pengumuman menyertai BERSATU, dalam masa terdekat sekali gus, menafikan turut serta dalam Mesyuarat Agung BERSATU pada 29 Disember ini.

“Tidak betul (lompat parti menyertai BERSATU),” katanya ringkas, ketika dihubungi, hari ini.

Zuraida, antara pemimpin kanan PKR, yang diketahui umum sangat rapat dan menyokong kepemimpinan Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Sejak dua hari lalu, spekulasi Azmin bersama 20 Ahli Parlimen akan keluar PKR untuk menyertai BERSATU menjadi bualan netizen di media sosial, susulan ramai Ahli Parlimen keluar UMNO.

Pada 12 Disember lalu, lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain 21 Ketua Bahagian di Sabah diketuai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta.

Dua hari berikutnya, dalam temubual khas bersama NSTP, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengumumkan keluar parti.

Turut bersama beliau, lima lagi Ahli Parlimen adalah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 12:37 PM