LIMA kenderaan termasuk dua kereta mewah musnah dalam kebakaran di tempat letak kereta di Kota Kinabalu, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Fardy Bungga
fardy@nstp.com.my


LIMA kenderaan termasuk dua kereta mewah musnah dalam kebakaran di tempat letak kereta Damai Point, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, api dipercayai bermula dari sebuah kenderaan sebelum marak dengan cepat hingga mengejutkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Beberapa pemilik kereta berhampiran dilihat bergegas mengalihkan kenderaan mereka kerana dikhuatiri api merebak.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Faizal Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.30 malam dan mengerahkan sebuah jentera bersama 10 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi, lima kenderaan berkenaan masih terbakar dan operasi pemadaman segera dilakukan bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Antara kenderaan yang terbabit ialah Toyota Altis, Proton Persona, Volkswagon Golf, BMW dan Toyota Vios. Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Api berjaya dikawal pada 9.01 malam dan sebaik dipadamkan, pasukan bomba melakukan pemeriksaan di kawasan terjejas.

“Unit Pengesan Anjing (K9) bomba turut dihantar ke lokasi untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 11:39 AM