Pengurusan kanan TH bergelar Datuk dibawa pegawai SPRM untuk permohonan reman. FOTO Abd Rahim Rahmat
Suhaila Shahrul Annuar
cnews@nstp.com.my


SEORANG pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Menurut sumber, beliau dipercayai ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM400,000 berkaitan kerja pengubahsuaian rumah di kediamannya.

Difahamkan, ia sebagai balasan kepada sebuah syarikat kontraktor penghias dalaman untuk projek memberi kerja penjenamaan semula pejabat cawangan TH kepada syarikat yang berkenaan membabitkan kos RM15 juta.

Permohonan reman oleh SPRM ke atasnya dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Pada 30 November lalu, TH membuat laporan polis berhubung kes salah guna kuasa dilakukan bekas pengerusi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan institusi itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, sebelum ini dilaporkan berkata, ketika pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan.

TH membuat dua laporan polis membabitkan bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Selain itu, TH turut menamakan beberapa pengurusan kanan lain, Datuk Adi Azuan (Ketua Pegawai Operasi), Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 9:50 AM
Skip this ad x