Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my

TINDAKAN seorang lelaki yang gemar mengamuk dan memarahi ahli keluarga sendiri akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis di Kulim, semalam.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang selepas mengamuk dan mengugut mahu membunuh adik perempuannya di rumah keluarga mereka di Taman Kenari.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, terdahulu dalam kejadian 1.30 petang, suspek secara tiba-tiba menjadi berang dan turut mencederakan dirinya dengan menghantuk kepala ke dinding.

“Bapa suspek sendiri yang membuat laporan polis selepas bimbang dengan keadaan suspek suka mengamuk.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh tiada perselisihan faham antara suspek dengan ahli keluarganya. Suspek akan bertindak agresif setiap kali mengamuk dan juga mencederakan dirinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 3:17 PM