Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@nstp.com.my


PERSIDANGAN Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang ke-14, hari ini bertafakur dan merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia malam semalam.

Beliau sebelum ini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat parah selepas terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menzahirkan rasa sedih atas pemergian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu yang disahkan meninggal dunia di IJN pada 9.41 malam.

Aminuddin menzahirkan rasa itu selepas selesai pertanyaan lisan pada persidangan itu dan meminta ahli dewan beragama Islam membacakan surah al-Fatihah untuk arwah Muhammad Adib.


AMINUDDIN (kanan) ketika membahaskan usul ucapan takziah kepada Allahyarham Muhammad Adib di Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan. Foto HAZREEN MOHAMAD

“Kerajaan negeri terharu dengan pemergian ini dan berasa amat sedih. Kita yakin ini adalah satu pengorbanan yang tiada pengganti.

“Saya berharap kakitangan awam terus berusaha seperti Allahyarham Muhammad Adib dengan meneruskan perjuangan kepada negara,” katanya.

Terdahulu sebelum perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta dewan berhenti seketika bagi menzahirkan ucapan takziah atas kematian Allahyarham.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 2:14 PM