ANTARA aktiviti ahli kelab Brotherhood GBK 33 sambil menunggang motosikal berkonvoi dan beramal ke seluruh negara.
Mahaizura Abd Malik 
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Tunggang motosikal sambil beramal. Itu dilakukan Pertubuhan Brotherhood GBK 33 yang mempunyai lebih 2,000 ahli berkonvoi ke beberapa rumah anak yatim untuk menyampaikan sumbangan.

Brotherhood GBK 33 ditubuhkan tahun lalu hasil gabungan 20 kelab motosikal seluruh Malaysia dengan objektif mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan sesama ahli dalam aktiviti sukan permotoran, kemasyarakatan dan kerja amal.

Jurucakap pertubuhan terbabit, Mohd Syafiq Helmi, 25, berkata, gabungan 20 kelab di bawah naungan satu nama itu menghimpunkan semua pemilik, pengguna dan peminat motosikal yang menggunakan pelbagai jenama di Malaysia.

“Asalkan namanya dua roda, kami terima dengan hati terbuka asalkan objektif untuk mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan ahli melalui aktiviti kelab motosikal tercapai.

“Setakat ini, kami mempunyai lebih 2,000 ahli yang berdaftar dan setiap kali konvoi, lebih 1,000 ahli akan menyertainya dan suasana sangat meriah,” katanya.


ANTARA aktiviti ahli kelab Brotherhood GBK 33 sambil menunggang motosikal berkonvoi dan beramal ke seluruh negara.

Mohd Syafiq berkata, pihaknya mahu membentuk satu komuniti yang sihat dan disenangi oleh semua masyarakat melalui aktiviti permotoran.

“Sumbangan akan dikutip daripada setiap ahli yang berkonvoi tidak kira jumlahnya berapa asalkan setiap daripada kami ikhlas memberikan sumbangan.

“Kami harap hobi menunggang sambil beramal ini memberi contoh kepada masyarakat luar bahawa tidak semua mat motor memberi masalah kepada orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 1:39 PM