Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


KELUARGA Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memberi persetujuan jenazah anggota bomba itu dibedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, jenazah arwah akan dibawa ke kampung halamannya di Kedah menggunakan jalan darat selepas selesai proses bedah siasat itu.

“Pada hari pertama kejadian (rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu) kita berjanji pada keluarga Muhammad Adib untuk menjaga kebajikan arwah dan keluarga.

“Kerajaan akan memberikan bantuan pada setakat yang kita mampu,” katanya ketika ditemui media di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.


SEBAHAGIAN daripada Pegawai dan Anggota Bomba menunggu di luar pekarangan Bilik Mayat HKL bagi menunggu proses bedah siasat jenazah anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal pada 9.41 malam tadi. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya menyediakan pasukan perubatan terbaik untuk melancarkan proses bedah siasat arwah.

“Pasukan HKL sudah bersedia, pasukan forensik HKL yang berada di sini (IJN) diketuai Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL (Datuk Dr Mohd Shah Mahmood) juga sudah bergegas ke HKL.

“Sangat penting juga untuk faham bahawa kita sudah menyediakan pasukan terbaik di IJN.

“Kita doakan roh arwah dicucuri rahmat,” katanya.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 12:56 AM