BAHAGIAN kepala kucing yang tersangkut pada rim tayar kereta terpakai di Jaya Setia, Kuala Selangor, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


ANGGOTA bomba terpaksa memotong rim tayar kereta terpakai bagi menyelamatkan kucing yang tersangkut pada rim berkenaan di Jaya Setia, Kuala Selangor, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 malam.

“Beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati kepala kucing terbabit tersangkut pada lubang rim tayar kereta terpakai berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mereka mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan kepala kucing terbabit yang tersangkut pada rim berkenaan.

“Kami terpaksa memotong sebahagian kecil rim terbabit bagi memberi ruang untuk mengeluarkan kepala kucing berkenaan.

“Kucing itu berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 3:19 PM