Norrasyidah Arshad
norrasyidah@nstp.com.my

KANAK-KANAK perempuan berusia empat tahun maut selepas bilik tidur di rumah banglo milik keluarganya terbakar di Seksyen 12, di Shah Alam, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin, berkata, mangsa, Daaniys Humaira Mohd Shafie, dipercayai maut selepas terhidu asap.

Katanya, ketika bomba cuba menyelamatkan mangsa bersama ibu, Yusmaliza Mohamad Yusof dan bapanya, Mohd Shafie Mohd Salih, berusia 31 tahun serta adiknya, Eiman Haider, berusia setahun, kanak-kanak itu masih bernyawa.

Beliau berkata, mereka sudah berjaya keluar dari rumah berkenaan apabila pasukannya tiba ke lokasi.

“Bagaimanapun kesemua mangsa mengalami kecederaan melecur yang teruk termasuk Daaniys yang melecur di bahagian tangan serta kepala.

“Ketika dibawa ke Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS) untuk mendapatkan rawatan, Daaniys dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan,” katanya kepada NSTP hari ini.

Azmel berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu dipercayai bermula dari ruang bacaan rumah berkenaan.

Katanya, ruang bacaan itu terletak bersebelahan dengan bilik tidur empat mangsa berkenaan.

“Dipercayai api dari sudut bacaan itu merebak ke dalam bilik mangsa.

“Bomba masih mengenal pasti punca kebakaran yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 10:13 AM