ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di kedai emas yang disamun. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad

DALAM masa dua minit, sebuah kedai emas di Jalan Ibrahim, Sungai Petani mengalami kerugian RM200,000 selepas disamun dua lelaki hari ini.

Dalam kejadian 2.50 petang itu, premis terbabit dikunjungi lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh dan berbaju sejuk dengan bersenjatakan pistol serta tukul besi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek dikatakan menyimpan pistol dan tukul besi di dalam beg galas dan dikeluarkan ketika masuk ke dalam kedai emas itu.

Katanya, ketika kejadian terdapat empat pekerja termasuk pemilik kedai dan sepasang pelanggan, bagaimanapun ketika kejadian pasangan pelanggan itu sempat melarikan diri.

“Ketika suspek masuk ke kedai emas terbabit, pemilik kedai menyedari suspek mengeluarkan tukul besi untuk memecahkan cermin pameran tanpa menyedari terdapat pistol di pinggangnya.

“Pemilik kedai mencucuk suspek menggunakan rotan dari ruang dalam kedai untuk mengusir suspek, bagaimanapun suspek terus mengambil barang kemas di ruang pameran yang dipecahkan sebelum keluar dari kedai,” katanya.

Adzli berkata, suspek sempat melepaskan dua das tembakan ke arah pemilik kedai emas itu sebelum melarikan diri namun tembakan mengenai besi di dalam kedai berkenaan.

Katanya, suspek dipercayai melarikan diri bersama seorang lagi suspek yang menunggu di luar dengan menaiki motosikal.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana samun dan melepaskan tembakan, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

“Kita meminta pasangan pelanggan yang ada ketika kejadian atau sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan berhubung kejadian ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 6:53 PM