KIT SIANG. FOTO Arkib NSTP
Ibrahim Isa
Ibrahim@nstp.com.my


HANYA bekas Ahli Parlimen UMNO yang bertaubat, mengaku salah kerana tidak faham skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengutuk perbuatan Datuk Seri Najib Razak boleh dipertimbangkan untuk menjadi ahli DAP.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, selain itu, ahli Parlimen berkenaan mestilah bersedia disiasat dan menjalani hukuman termasuk dipenjarakan, sekiranya didapati bersalah.

“Pandangan saya, mereka masa dahulu ada menyokong Najib, 1MDB, kleptokrasi. Mereka patut bertaubat, keluar kenyataan bahawa mereka salah dan tak faham, mereka insaf, mereka salah dan sekarang menyokong agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk wujudkan satu kerajaan yang bersih.

“Untuk tukar Malaysia daripada 'Global Kleptokrasi' sebagai 'leading nation of intergrity' dan kalau mereka ada buat corruption (rasuah), silap, salah guna kuasa, mereka mesti menghadapi proses keadilan.

‘Kalau ditunjukkan ada (kesalahan) mereka mesti dipenjarakan, mereka mesti pergi penjara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kem Pendidikan Kemanusiaan dan Kemajuan Pembangunan di Dewan Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Malaysia tiada akta anti-lompat parti menyebabkan tiada undang-undang boleh menghalang ia berlaku.

“Pada tahun 1970-an saya ada kemukakan satu 'private members bill' di Parlimen supaya ahli Parlimen perlu mengosongkan kerusi dan adakan pilihan raya kecil, sekiranya seseorang itu dipecat atau keluar parti.

“Undang-undang ini tiada di Malaysia tetapi diamalkan di negara lain. Prinsip saya masih sama, penduduk mengundi calon berdasarkan parti (jadi) sekiranya seseorang itu keluar atau dipecat, rakyat perlu diberikan kuasa memilih calon baharu,” katanya menolak dakwaan sebuah akhbar hari ini mengatakan dia mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Beliau berkata, ketika ini, walaupun ada desakan dalam cawangan dan UMNO bahagian supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan, tiada ahli UMNO yang mengutuk masalah utama negara iaitu 1MDB atau salah laku Najib.

“Saya percaya demokrasi memerlukan pembangkang yang kuat tetapi selepas dua kali Dewan Rakyat bersidang, belum ada Ahli Parlimen pembangkang menyentuh perkara pokok iaitu 1MDB dan Najib.

“Pada saya sama ada Zahid undur atau tidak, adalah isu kedua, isu sekarang sama ada pembangkang berani menyuarakan apa yang terbaik untuk negara.

“Untuk menjadi pembangkang yang kuat mereka (UMNO dan MCA) mesti mengambil pendirian, mereka mesti berani kata Najib malapetaka negara kerana bawa Malaysia ke kleptokrasi global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 5:15 PM