AHMAD Zahid (kiri) didesak Khairy (gambar kecil) supaya melepaskan jawatan Presiden UMNO. FOTO arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden UMNO segera.

Desakan itu dibuat di tengah-tengah krisis kepercayaan dalam kalangan ahli parti terhadap Ahmad Zahid, dengan semakin banyak pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti keramat Melayu itu.

Khairy percaya, sekarang adalah masanya untuk Ahmad Zahid berundur daripada jawatannya memandangkan kebanyakan pemimpin meninggalkan parti kerana kecewa dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

"Step aside, sir. It’s time. (Sila berundur, tuan. Sudah tiba masanya.)," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Khairy membuat desakan itu bagi membalas kenyataan Ahmad Zahid kepada media, yang menegaskan hanya dua pertiga daripada 146,000 perwakilan yang boleh melucutkan jawatannya menerusi Perhimpunan Agung UMNO.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu turut mengepilkan laporan media yang melaporkan kenyataan Ahmad Zahid dalam Twtitter miliknya.

Rabu lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain 21 Ketua Bahagian dan semua Ketua Wanita serta Puteri UMNO Sabah keluar parti berkuat kuasa serta merta.

Terbaharu, enam Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuat kuasa semalam iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 4:40 PM