Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@mediaprima.com.my


UMNO Pulau Pinang mencabar Datuk Shabudin Yahaya melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor, susulan tindakannya yang keluar parti semalam.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir, ini kerana Shabudin bertanding pada pilihan raya lalu adalah atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Jadi, saya cabar beliau supaya letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan beri peluang kepada orang lain untuk bertanding semula.

“Janganlah kerana baru (BN) kalah enam, tujuh bulan, terus menyerah kalah. Mana kata-kata yang mahu berjuang habis-habisan?

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Shabudin,” katanya pada sidang media di Butterworth, hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor, Muhamad Yusuff Mohd Noor.

Sementara itu, Muhamad Yusuff berkata, keputusan Shabudin untuk keluar UMNO mengejutkan pihaknya, selain ia tidak pernah dibincangkan di peringkat bahagian.

Bagaimanapun, katanya, UMNO Bahagian Tasek Gelugor akur terhadap keputusan Shabudin dan akan meneruskan perjuangan sehingga ke akar umbi.

“Selepas ini kita akan buat siri jelajah di semua cawangan untuk menerangkan keadaan semasa yang terjadi dalam parti.

“Kita khuatir jika siri jelajah ini tidak dilakukan, ia akan beri kesan yang lebih besar kepada UMNO pada masa akan datang,” katanya.

Shabudin mengumumkan keluar UMNO, berkuat kuasa semalam.

Shabudin bertindak demikian bersama lima lagi Ahli Parlimen UMNO, iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dua lagi ialah Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh; dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Kesemua mereka menyerahkan surat peletakan jawatan bersama kepada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, semalam.

Berita berkaitan:

  • Enam lagi ahli Parlimen keluar UMNO [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 2:28 PM
    MUSA (kiri) pada sidang media, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal