MANGSA, Muhammad Arash dipercayai lemas dalam baldi mengandungi air di tandas rumahnya. FOTO Rasul Azli Samad
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my


AKSI cucunya berjalan yang terbayang setiap kali mahu pejamkan mata sebelum tidur, tanpa disangka seorang nenek menjadi petanda bayi lelaki berusia 14 bulan meninggalkan mereka selama-lamanya.

Zainab Abdul Aziz, 63, berkata, malam sebelum kejadian, dia tidak dapat melelapkan mata hingga 4 pagi kerana terbayang arwah cucunya yang mesra dengan nama timangan Ati.

"Makcik tak sangka rupa-rupanya esok siang jadi perkara begini. Kehilangan Ati makcik tak dapat cakap...," katanya, menahan sebak.

Dalam kejadian semalam, Muhammad Arash Zahrain Osman, ditemui tidak sedarkan diri dipercayai lemas selepas kepalanya berada dalam baldi mengandungi air di tandas rumahnya di Sungai Rambai, dekat Jasin.

Bayi itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Zainab berkata, dia menjaga makan minum Muhammad Arash Zahrain dan tiga abangnya yang lain pada Isnin hingga Rabu malah suaminya, Osman Hassan, 74, sentiasa membawa arwah bersiar-siar pada waktu petang.

"Menantu makcik bekerja sebagai pembantu kedai, jadi dia hantar adik-beradik arwah ke rumah makcik di Padang Gasing. Itu yang makcik tidak boleh cakap (ungkap)...," katanya, terpaksa menahan sebak lagi, ketika ditemui di rumah anaknya, Osman Hassan dan menantunya, Norhaini Hasan di Jalan Pengkalan Lambak, Jasin, hari ini.

Zainab berkata, Norhaini berehat di rumah ibunya di Tangkak buat sementara waktu dan dia mengambil alih tugas mengemas rumah dan mengasingkan pakaian Muhammad Arash Zarhain.

"Norhaini tidak dapat menahan tangis apabila melihat rumah, tempat arwah sering bermain selain pakaian arwah. Dia mesti meraung. Malam selepas arwah dikebumi juga, dia mahu ke kubur kembali kerana menganggap arwah mahukan susu badan," katanya.

Mengenangkan semula kejadian itu, Zainab berkata, Norhaini memberitahunya yang arwah tidak pernah turun bermain di dapur mahupun bilik air selama ini, namun tiada siapa menyangka perkara tidak diingini berlaku pada hari kejadian.

Berita berkaitan:

  • Bayi maut terlangkup dalam baldi
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 7:07 PM