NASIR (kiri) meneliti buah yang bakal dituainya hujung tahun ini di ladangnya di Taman Semarak. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PENGGEMAR harumanis kini tidak perlu gusar untuk menikmati buah berkenaan setiap masa kerana seorang pengusaha dari Kuala Perlis berjaya menuai hasilnya di luar musim.

Penat lelah tenaga dan wang dikeluarkan Nasir Johan, 57, yang menuntut ilmu perladangan di Thailand nyata membuahkan hasil apabila teknik cantuman baji antara ranting pokok dan biji buah berjaya menyingkatkan masa pokok untuk berbuah.

Ladangnya yang kini bakal mengeluarkan hasil untuk kali kedua hujung tahun ini dijangka mengeluarkan buah lebih banyak dan berkualiti tinggi untuk di pasarkan kepada pengguna.

“Jika diikutkan musim harumanis setahun sekali iaitu pada Mei, ada kalanya setahun dua kali itupun jarang berlaku.

“Namun melalui percantuman ranting yang aktif mengeluarkan buah dari pokok induk bersama biji harumanis asli, saya berjaya mengawal tempoh pengeluaran buah selain sudah tiga kali tuai hasil dalam masa dua tahun.

“Kali pertama saya menuai hasil pada April lalu, kali kedua hujung tahun ini, tahun depan saya sasarkan untuk menuai hasil dua kali juga seperti tahun ini,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Taman Semarak, Kuala Perlis.

Nasir berkata, dia juga tidak perlu menunggu pokok yang ditanam untuk matang dalam tempoh lima tahun bagi mengeluarkan buah melalui teknik itu.

“Kesemua 300 pokok harumanis yang ditanam sudah mengeluarkan buah selepas setahun lapan bulan ditanam berbanding usia pokok normal.

“Tiada rahsia untuk disembunyikan sebenarnya, apa yang penting ialah kita mengikut nasihat pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI),” katanya yang sudah tiga tahun mengusahakan ladang harumanis.

Katanya, pekebun mestilah sentiasa memastikan bunga dan ranting pokok terbabit bebas kulat.

“Ramai pengusaha yang saya temui mereka menghadapi masalah ini dan paling menyedihkan anak buah senang luruh jika ditiup angin akibat tidak kuat kerana dimakan kulat dan serangga buah.

“Mereka hanya ingat, dengan memberi baja sahaja sudah mencukupi. Itu salah kerana ranting yang mengeluarkan bunga juga perlukan semburan vitamin organik dan baja kulat selain menyapu kapur di pangkal batang pokok bagi mengelakkan serangga merayap ke dahan dari bawah,” katanya.

Nasir juga bersyukur kerana baru-baru ini dia sudah menjalinkan kerjasama bersama pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis yang sudi membantu menyalurkan tenaga kerja kepadanya memandangkan dia kekurangan pekerja berikutan hasil buah meningkat saban tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 6:16 PM