MUHAMMAD JAMRI dibawa ke mahkamah. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my


ANGGOTA tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di Melaka, hari ini, atas tuduhan menumbuk muka, leher dan kepala isterinya, September lalu.

Muhammad Jamri Nowawi, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Siti Nurfaizah Mohd Yusof, 35, dengan menumbuk muka, leher dan kepala mangsa, di sebuah rumah di Taman Sari, Sungai Udang, Melaka, 12 tengah hari, pada 21 September 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin yang mencadangkan jaminan RM8,000.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan rendah diberikan atas alasan menanggung keluarga.

Muhammad Nazrin kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 3:29 PM