Radzi (tengah). FOTO Facebook Wan Saiful Wan Jan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


VETERAN UMNO, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad difahamkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di ibu negara, semalam.

Ini berikutan satu kenyataan yang dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan di laman sosial Facebook, petang semalam.

Menurut kenyataan itu, Wan Saiful bersama Setiausaha Agung BERSATU, Senator Datuk Marzuki Yahya mengadakan pertemuan bersama bekas Menteri Dalam Negeri itu bagi membincangkan masa depan perjalanan politiknya.

“Alhamdulillah sebentar tadi (semalam) bersama dengan Senator Datuk Marzuki Yahya, Setiausaha Agung BERSATU, menyerahkan kad keahlian seumur hidup kepada Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad.

“Beliau adalah orang lama Perlis. Antaranya, pernah menjadi Ahli Parlimen Kangar, Menteri Dalam Negeri, Ketua Bahagian UMNO Kangar, dan juga Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Radzi yang juga anak bekas Menteri Besar Perlis, Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd Hashim adalah tokoh politik yang aktif sewaktu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kangar ketika itu pernah beberapa kali memegang jawatan kabinet sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kali terakhir sebagai Menteri Dalam Negeri pada 2004.

Terdahulu, UMNO menerima tamparan hebat selepas parti itu di Sabah seakan lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik BEBAS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 9:56 AM