TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FITI Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

PEMBALAK haram mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana mengugut mahu menampar pegawai perhutanan.

Tertuduh, Anudin Abdul Ghani, 41, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Akmal Mohamed.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap pegawai perhutanan, Haziq Syahmi Rohaizat, 24, di tepi jalan Felda Kerteh Satu, Ketengah Jaya, Dungun, 12.30 tengah hari, 8 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Dungun.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama dua anggotanya yang bertugas di daerah Dungun pergi ke Hutan Simpan Rasau selepas mendapat maklumat mengenai pencerobohan di kawasan berkenaan.

Mangsa ke lokasi kejadian untuk mengambil gambar, namun tertuduh mengugut untuk menampar pegawai yang mengambil gambar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 5:32 PM