ELIZ Eizmatul (dua kanan) bersama keluarganya ketika mengambil keputusan Pentaksiran PT3. FOTO Badrul Kamal Zakaria
Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@nstp.com.my


“Saya sebenarnya tak ada apa-apa rahsia tetapi leteran daripada ibu yang sering mengingatkan saya belajar hampir setiap hari akhirnya menyebabkan saya mendapat keputusan cemerlang dalam Pentasiran Tingkatan 3 (PT3),” kata Eliz Eizmatul Huda Ishak.

Eliz Eizmatul yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat, Tangkak berkata, disebabkan tidak tahan dengan leteran ibu, dia terus belajar serta mematuhi saranan orang tuanya dan tidak menyangka hikmah disebaliknya membolehkan mendapat kejayaan berkenaan.

"Saya biasanya memberi tumpuan dalam pengajaran guru di bilik darjah dan meluangkan masa mengulang kaji bersama rakan. Kalau ada benda yang tidak tahu atau faham, saya akan segera merujuk perkara itu kepada guru.

"Di rumah pula, saya memperuntukkan dalam empat jam untuk mengulangkaji pelajaran terutama membabitkan subjek sukar dikuasai iaitu Sains. Alhamdulillah, saya berjaya meraih keputusan 11A," katanya yang bercita-cita menjadi jurutera.

Bagi Loo Shu Ting, 15, pula, berkongsi teknik menggunakan pen dan pensil berwarna dalam menulis nota bagi membantunya menguasai subjek sukar untuk difahami.

"Saya tidak menyangka mendapat keputusan yang cemerlang ini kerana sebelum ini memperolehi keputusan yang sederhana dalam beberapa subjek seperi bahasa Cina. Biasanya, lepas sekolah saya akan mengikuti kelas tuisyen sebelum mengulang kaji di rumah.

"Saya juga selalu membuat nota sendiri daripada pengajaran guru di sekolah dengan menggunakan pen atau pensil berwarna supaya ia kelihatan menarik dan membantu saya mengulang kaji pelajaran. Teknik ini banyak membantu saya dalam menghadapi PT3 ini," katanya.

Sementara itu, Fatinu Nur Azrina Ma’an berharap keputusan baik yang diraihnya dalam PT3 akan merangsang dirinya untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

"Sebelum ini pun saya dan rakan sentiasa memberi fokus kepada pengajaran guru di bilik darjah. Disebabkan saya tinggal di asrama, saya juga sering meluang masa belajar dan mengulang kaji pelajaran bersama rakan dan serta mengikuti tuisyen yang disediakan di sekolah.

"Insyallah, keputusan 4A dalam PT3 ini akan merangsang saya untuk terus belajar terutama dalam persediaan menghadapi SPM pula selepas ini," katanya.

Pix by Badrul Kamal Zakaria

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 5:11 PM