Kapal mewah 'The Equanimity'. FOTO Saddam Yusoff
Murni Wan Omar
murni@nstp.com.my


KAPAL mewah Equanimity akan dijual dengan harga tidak kurang daripada RM543 juta.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam S Sitpah yang mewakili kerajaan selepas pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (Admiralti) Datuk Khadijah Idris di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, harga itu diberikan oleh syarikat jurunilai bebas bagi pasaran kapal mewah dunia, Winterbothams.

“Kini kita boleh memberi harga panduan kepada bakal pembeli. Nilai pasaran yang diberikan oleh Winterbothams iaitu AS$130 juta dolar.

“Kami menerima perintah daripada mahkamah untuk memasuki fasa kedua jualan kerana harga bidaan yang diterima pada fasa pertama tidak dipersetujui. Ini adalah proses penjualan normal iaitu rundingan tertutup sehingga tarikh 31 Mac 2019,” katanya.

Harga jualan itu berkurangan dengan nilai yang ditetapkan sebelum ini, iaitu RM1.42 bilion.

Sebelum ini, media dimaklumkan bahawa Equanimity akan dijual sebelum 31 Mac 2019 dengan nilai tawaran harga mencecah ratusan juta dolar AS.

Pada 24 Ogos lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua subsidiarinya Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited untuk menjual kapal mewah Equanimity yang didakwa milik Jho Low.

Melalui permohonan difailkan pada 6 Ogos lalu, mereka menamakan pemilik kapal dan syarikat Equanimity (Cayman) Ltd beralamat di United Kingdom sebagai defendan pertama dan kedua.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan bagi mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi, selain ia boleh menyebabkan kerosakan sehingga aset itu susut nilai dan alasan keselamatan.

Kapal mewah itu dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos lalu apabila pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia selepas dirampas di Bali pada Februari atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada penyiasatan rasuah yang dilancarkan oleh Jabatan Keadilan AS (DoJ) ke atas 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 2:03 PM