MUSA ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Murni Wan Omar
murni@nstp.com.my


MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur , hari ini, memberi tempoh dua bulan kepada pasukan pembelaan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sama ada mahu memindahkan kes rasuah yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi atau tidak.

Hakim Rozina Ayob membuat perintah itu selepas dimaklumkan peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa bahawa pihaknya belum memutuskan untuk berbuat demikian.

Ng memberitahu mahkamah bahawa pihaknya belum menerima sepenuhnya semua dokumen berhubung kes.

“Selepas menerima semua dokumen baru pihak kami akan putuskan sama ada untuk memindahkan kes ini atau tidak.

“Kami memohon tarikh pengurusan kes diberikan bagi membolehkan kami memaklumkan kepada mahkamah berhubung perkembangan kes,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa beberapa dokumen sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Bagaimanapun katanya, masih banyak lagi dokumen belum diserahkan dan pihaknya memerlukan masa untuk berbuat demikian.

Mahkamah menetapkan 20 Februari tahun depan untuk pembelaan memaklumkan berhubung status kes itu.

Musa yang hadir turut diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Ridha Abdah Subri.

Pada 5 November lalu, Musa didakwa atas 35 pertuduhan rasuah membabitkan suapan daripada lapan pemilik konsesi balak, iaitu wang keseluruhan berjumlah AS$63.3 juta (RM263,460,962.313).

Musa meminta dibicarakan terhadap semua tuduhan yang didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura di antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Tertuduh didakwa menerima suapan daripada individu yang dinamakan Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Heng, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon.

Wang suapan itu ialah sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Semua tuduhan terhadap Musa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Kesalahan itu boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 10:23 AM