Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@nstp.com.my

AUDIT luar yang melaksanakan semakan dan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) memaklumkan beberapa penemuan yang memerlukan siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, sehubungan itu laporan SPRM dibuat untuk menyiasat beberapa penemuan di dalam audit terbabit.

“Laporan ini demi menjaga kepentingan umum khususnya kerajaan, warga peserta dan staf keseluruhannya.

“Pihak pengurusan FELCRA akan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh siasatan oleh pihak SPRM dan akan memastikan supaya mana-mana pihak yang didapati terbabit dan bersalah akan diadili dengan seadilnya mengikut tingkat hukuman yang diguna pakai kini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, pihak audit luar itu dilantik dengan kerjasama audit dalam FELCRA.

“Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Nageeb Wahab ketika berucap di hari pertama menjawat tanggungjawabnya, mengarahkan supaya audit pengurusan ke atas Pengurusan FELCRA diadakan secara menyeluruh,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 11:28 PM