SONY (depan) mahu cipta nama dalam Malaysia Book of Record sebagai Penunggang Motosikal Tangan Tunggal Terpantas Melengkapkan 1,000 Selekoh di Thailand. Foto BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my


LELAKI berstatus orang kurang upaya (OKU) Mohd Yusnizal Mohd Yussof mahu mencipta nama dalam Malaysia Book of Record (MBR) sebagai penunggang motosikal sebelah tangan terpantas melalui lebih 1,000 selekoh di Thailand.

Bagi menjayakan rekod berkenaan, Mohd Yusnizal atau lebih dikenali sebagai Sony perlu menghabiskan keseluruhan sebanyak 1,864 selekoh di laluan dinamakan ‘1,000 Selekoh Mae Hong Son’ iaitu jalan raya antara kawasan Mae Hong Son dan Chiang Mai di negara Thailand dalam tempoh lima hari, bermula esok.

Mohd Yusnizal nekad menjayakan sesi jelajah Kembara Seribu Selekoh (KSS) selepas mengalami kemalangan pada hari ketiga Aidilfitri pada 1999 hingga mengakibatkan tangan kirinya putus hingga paras siku.

“Saya mahu mencipta rekod ini bagi menaikkan semangat rakan lain (terutama OKU) bahawa sekiranya saya boleh, maka mereka juga boleh melakukannya.

“Saya juga mahu membuktikan kepada masyarakat boleh melakukan sukan ekstrem walapun OKU, saya sanggup menempuh cabaran ini untuk sampai ke sana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan di dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan mewakili Menteri Besar Perak hadir bagi melepaskan Sony sekali gus menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000.

Mohd Yusnizal yang bekerja sebagai Pembantu Operasi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berasal dari Taiping, berkata seperti diidamkan orang lain, dia juga mahu mencipta sejarah tersendiri di lokasi wajib dikunjungi di negara jiran itu oleh penunggang motosikal.

“Sebelum ini saya memang suka menunggang secara santai dan sememangnya mempunyai impian untuk ke sana (1,000 selekoh) tetapi hanya separuh jalan.

“Atas sokongan rakan, saya bersemangat mahu menyelesaikan impian itu walaupun dalam keadaan begini,” katanya.

Katanya, dia berlatih menunggang motosikal sejauh 500 kilometer (km) sehari hampir setiap minggu sejak bulan lalu, sebagai persediaan untuk jelajah berkenaan.

“Walaupun hujan saya tetap berlatih kerana saya mahu menguji ketahanan diri untuk menempuh hujan dan panas ketika menyelesaikan cabaran itu nanti,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan sesi jelajah adalah selama 15 hari, namun dia bersama enam lagi penunggang sebagai penyokong perlu menyelesaikan laluan di lokasi 1,000 selekoh selama lima hari bagi mencipta nama dalam MBR.

“Paling maksimum kami akan menunggang antara 700 ke 800 km sehari sebelum berhenti untuk berehat dan kami menunggang pada waktu siang sahaja.

“Saya difahamkan laluan di situ agak mencabar dan laluan mungkin agak licin. Namun, cabaran itu yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk melakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 7:28 PM