MAYAT Mohd Syarif dihantar ke Hospital Jertih untuk tindakan lanjut, hari ini. Foto Ihsan APM BESUT
Hanneeyzah Bariah Baharin dan Baharom Bakar
cnews@nstp.com.my


MAYAT remaja dihanyutkan kepala air ketika memancing di Sungai Besut dekat Empangan Jajar, Kampung Gong Duek, Hulu Besut, Jertih, Ahad lalu, ditemui terdampar di tebing sungai, hari ini.

Difahamkan, mangsa Mohd Syarif Mohd Zulkifli, 13, ditemui tanpa pakaian dan hanya berseluar panjang di tebing sungai jam 12.20 tengah hari, kira-kira satu kilometer dari jarak dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih Penolong Pengusa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan terdampar di tebing kira-kira 2.4 meter dari sungai.

“Alhamdulillah, selepas tiga hari SAR diadakan, akhirnya mayat mangsa ditemui lalu diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Jertih untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Ahad lalu, Mohd Syarif bersama adiknya, Mohd Safwan, 9, keluar memancing di atas batu di tengah sungai di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, ketika sedang memancing, secara tiba-tiba air sungai dikatakan naik mendadak dan datang kepala air berikutan pintu Empangan Jajar dibuka sehingga menenggelamkan batu tempat mangsa dan adiknya memancing.

Adik mangsa berjaya berenang ke tebing sungai dan berpaut pada akar kayu, manakala Mohd Syarif yang juga anak kedua daripada lima beradik dihanyutkan arus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 6:10 PM