EKA Nor Anita menunjukkan dokumen pengenalan diri dan laporan polis sambil diperhatikan Md Kharodin. Foto ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim
cnews@nstp.com.my


SUAMI isteri yang juga peniaga merayu orang ramai yang mengenali bekas pekerja mereka, Farida, 22, dan suaminya, Imam Rifai, 26, agar menyalurkan maklumat bagi membincangkan masa depan anak perempuan pasangan berkenaan.

Md Kharodin Ruas, 54, dari Benut, berkata pasangan berkenaan pernah bekerja di kedainya dari 2015 hingga Mei 2016 sebelum mereka pulang ke Indonesia berikutan permit kerja tamat tempoh.

“Ketika itu mereka perlu pulang dan meninggalkan anak perempuan, Eka Nor Anita, 4, (ketika kejadian) dalam jagaan kami kerana mendakwa mahu pulang dan memperbaharui permit.

“Pada bulan pertama hingga keenam mereka berada di sana (Indonesia), kami masih berhubung dan menceritakan kehidupan anak perempuan mereka kerana ketiadaan permit untuk dibawa pulang.

“Bagaimanapun, kami gagal menghubungi mereka sejak Disember 2016, malah nombor telefon yang diberikan tidak dapat dihubungi hingga sekarang menyebabkan kami berhasrat menjadikan Eka Nor Anita sebagai anak angkat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia ada menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang untuk membuat permohonan, namun ditolak kerana tiada surat penyerahan anak angkat secara sah.

“Keadaan itu membimbangkan kami kerana jika dibiarkan kanak-kanak ini tidak akan mendapat pendidikan sempurna termasuk kesihatannya kerana ketiadaan dokumen lengkap.

“Eka Nor Anita kini berusia kini 6 tahun dan perlu bersekolah bagi memastikannya tidak ketinggalan dalam pelajaran, namun segala urusan tidak boleh diuruskan kerana tiada dokumen diperlukan,” katanya.

Katanya, dia berharap Farida dan suaminya dapat menghubunginya di talian 013-7455364 jika berada di negara ini bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 7:54 PM