MOHD Shukri (dua kiri) menunjukkan pelekat Laporkan Rasuah selepas majlis pelancaran Balutan Tren Mesej Antirasuah, hari ini. Foto RAMDZAN MASIAM
Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@nstp.com.my


SIASATAN berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya hanya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, bagaimanapun tiada masalah jika Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut mahu melakukan siasatan sama terhadap syarikat pelaburan strategik itu.

“Sepatutnya, pada pandangan saya, di bawah undang-undang, biarlah siasatan diserahkan kepada SPRM.

“Tetapi tiada masalah jika PAC mahu siasat kerana PAC guna kuasa Parlimen, manakala SPRM guna bidang kuasa kita yang boleh membawa kepada seseorang itu dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Tren Balutan Bermesej di Bukit Mertajam, hari ini.

Mohd Shukri berkata, beliau yakin hasil siasatan PAC terhadap pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB itu akan sama dengan siasatan SPRM yang akan dibicarakan di mahkamah.

“Tetapi saya tidak pasti apa tindakan yang akan diambil PAC selepas memperoleh hasil siasatan, tetapi yang pasti SPRM akan bawa (hasil siasatan) ke mahkamah,” katanya.

Minggu lalu, siasatan PAC terhadap pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berakhir untuk tahun ini.

Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, PAC akan menyambung prosiding membabitkan laporan audit 1MDB itu pada Januari depan dengan memanggil saksi lain, antaranya bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dalam satu kenyataan media mendedahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 7:08 PM