FAZILAWATI menyoal siasat lelaki yang ditahan dalam Ops Perdana di Kudat, hari ini. FOTO Ihsan AADK.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


REMAJA orang kurang upaya (OKU) dan dua beranak antara lapan lelaki yang ditahan dalam Ops Perdana di dua kampung di Kudat, awal pagi hari ini.

Operasi kira-kira jam 1 pagi dan berakhir dua jam kemudian itu membabitkan tujuh pegawai dan anggota AADK Kudat diketuai Fazilawati Aji.

Menurut Fazilawati, remaja OKU berusia 17 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Pantai Bahagia bersama abangnya berusia 20 tahun.

“Hasil saringan ujian air kencing dua beradik itu didapati positif dadah jenis syabu.

“Di kampung sama, dua beranak berusia 18 dan 40 tahun turut ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fazilawati berkata, operasi di Kampung Perpaduan, Kudat menahan empat lelaki termasuk tiga orang kena pengawasan (OKP).

“Semua suspek dibawa ke pejabat AADK Kudat untuk tindakan lanjut.

“Seramai lima suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 manakala tiga OKP disiasat mengikut Seksyen 6(2)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 6:15 PM