LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Siti Nur Mas Erah Amran
cnews@nstp.com.my


UMNO mengesahkan beberapa pemimpin parti itu dari Sabah bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Putrajaya minggu lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa menghalang sekiranya ada ahli ingin meninggalkan parti.

Beliau mengakui pimpinan parti sering dihubungi dan dijemput, selain cuba diyakinkan dan ditawarkan untuk melompat parti.

“Kita sangat terbuka mengenainya dan memberi kebebasan kepada ahli Parlimen daripada UMNO untuk membuat keputusan.

“Jentera parti akan terus memperkukuhkan kedudukan dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Siapa yang nak keluar, selamat maju jaya kita ucapkan namun ibu pejabat belum menerima makluman rasmi berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan empat ahli Parlimen UMNO dari Sabah yang disebut akan keluar parti dan menyertai parti kerajaan.

Empat wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Mengulas lanjut, Annuar mendakwa antara faktor yang mendorong ahli Parlimen terbabit ialah masalah kewangan, selain mereka mahu bersama dengan parti pemerintah.

“Masalah di Sabah ialah pemimpin UMNO, bukannya ahli. Soal membubarkan UMNO Sabah tidak timbul.

“UMNO jujur dalam hal ini. Kita berdepan dengan masalah kewangan berikutan pembekuan akaun parti dan kita tidak dapat bantu jika ia membabitkan soal kewangan.

“Mereka berhak membuat keputusan sendiri tanpa membabitkan UMNO Sabah.

"Saya menerima jaminan daripada sebahagian besar ahli UMNO Sabah terutama sayap Pemuda Puteri yang mahu UMNO kekal di negeri itu,” katanya.

Berita berkaitan

Empat ahli Parlimen tinggalkan UMNO Sabah?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 3:09 PM