MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


HASRAT mekanik menghadiri temuduga di Kuala Kangsar tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Alor Setar - Butterworth, di Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Syed Khairul Azmeer Syed Zainol Abidin, 29, dari Guar Chempedak.

Isteri mangsa, Wan Nur Aini Ilias, 29, berkata, suaminya yang berkerja sendiri dengan membaiki motosikal dan kereta dipelawa rakannya untuk menghadiri temuduga hari ini.

Katanya, Syed Khairul Azmeer kemudian menunggang motosikal dalam ke Sungai Petani untuk berjumpa dengan rakan bagi sama-sama menghadiri temuduga

"Arwah kata dia nak cuba nasib, mana tahu ada rezeki dia dapat kerja itu... mudah buat kami merencanakan masa depan bersama, namun saya tak sangka impiannya itu tak tercapai.

“Arwah juga ada beritahu saya dia berkenan dengan satu telefon ini dan ingin membelinya buat saya. Arwah janji nak bawa balik telefon baharu tu selepas dia pulang daripada temuduga," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, hari ini.

Aini berkata, suaminya itu juga sempat merakam gambar kenangan bersama keluarganya minggu lalu sewaktu mereka menghadiri kenduri kahwin sepupunya.

Katanya, biarpun sebelum ini arwah begitu malu setiap kali diajak untuk bergambar.

“Arwah seolah-olah seperti tahu dia akan meninggalkan kami selamanya dan saya tak sangka gambar yang diambil itu menjadi gambar terakhir arwah bersama saya dan keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang melanggar Toyota Hilux yang membelok secara tiba-tiba.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa sempat menekan brek, namun tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sehingga melanggar sebelah sisi kiri kenderaan berkenaan.

“Pemandu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 2:57 PM