Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


INDIVIDU terbabit penjualan rokok serta arak tiruan bakal berdepan hukuman denda lebih tinggi bermula Januari ini, selepas pindaan Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T Subromaniam berkata, melalui pindaan itu denda minimum yang dikenakan terhadap penjual, jika menjual satu karton rokok ialah RM100,000.

“Pindaan ini sudah diluluskan Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga di Parlimen semalam dan akan dibawa ke Dewan Negara.

“Kita (JKDM) menjangkakan pindaan kedua-dua akta itu akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-malaysia kali ke-86 di Holiday Villa di Subang Jaya, hari ini.

Subromaniam berkata, pindaan berkenaan membabitkan Seksyen 135 Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan membabitkan penyeludupan, mengelak duti dan frod.

Beliau berkata, Kastam juga mengambil langkah dengan mengetatkan syarat lesen import rokok dengan mengenakan had minimum pengimportan.

“Syarikat yang mempunyai lesen import selama tiga tahun atau lebih perlu membuat pengimportan minimum 10 juta batang rokok setahun.

“Bagi syarikat yang kurang dari tiga tahun had minimum ialah lima juta batang rokok setahun. Had pengimportan ini dikenakan kepada pelesen bertujuan mengelakkan salah guna lesen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 1:43 PM
SUBROMANIAM. FOTO NSTP