Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


BIMBANG dikatakan terbabit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah di Jerantut, menanggung kerugian RM12,800 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, awal bulan ini.

Dalam kejadian pada 2 Disember lalu, mangsa yang berusia 45 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek wanita yang menyamar sebagai Koperal Mashitah Abdul Rahman dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Perlis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memaklumkan sebuah kereta Toyota Vios warna putih yang didaftarkan atas nama mangsa terbabit dalam kes langgar lari, namun mangsa menafikan perkara berkenaan.

“Panggilan itu kemudian disambung kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai Sarjan Mohd Fadli Bakri. Selepas perbincangan, suspek kedua ini memberitahu dia akan merujuk kes mangsa ke pihak mahkamah.

“Selepas membuat pemeriksaan mendapati nama mangsa juga terbabit di dalam kes 1MDB. Suspek ini kemudian menyambungkan panggilan kepada Inspektor Narisa yang kononnya bertugas di IPD Seri Kembangan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Inspektor Narisa meminta mangsa mengeluarkan semua wang di dalam akaunnya bagi tujuan mengelak pembekuan dan menyuruh lelaki berkenaan memasukkan wang ke dalam akaun yang berikan.

“Mangsa kemudian membuat sembilan kali transaksi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,800. Bagaimanapun, selepas memasukkan duit berkenaan, Inspektor Narisa masih menyuruh mangsa memasukkan duit lagi.

“Pengadu memaklumkan perkara terbabit kepada adiknya, sebelum menyuruhnya membuat laporan polis di IPD Jerantut, semalam selepas mensyaki dirinya ditipu oleh pihak berkenaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 12:26 PM