Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


EMPAT lelaki dipercayai terbabit insiden pukul anggota bomba dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dibebaskan daripada reman, hari ini.

Majistret Nurshahirah Abd Salim di Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan dua suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000, manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Pada prosiding itu, mereka diwakili peguam Sri Threren.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dipercayai dipukul.

Muhammad Adib kini masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Sementara itu, Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan rusuhan itu.

Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Setakat ini, polis sudah menahan 106 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 2:37 PM
SUSPEK dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO