PESERTA program Jom Berkhatan Suara Komuniti BH di Balai Berita Bangsar, semalam.
Che Wan Badrul Alias
chewan@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Semua peserta diarak menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejauh 1.5 kilometer (km) mengelilingi Bangsar, sekali gus mengurangkan rasa berdebar sementara menunggu saat dikhatankan.

Itu antara kelainan Program Jom Berkhatan anjuran Suara Komuniti BH bersama Badan Khairat The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) semalam apabila 50 peserta kanak-kanak berkenaan diarak menaiki 14 kenderaan disediakan Kelab 4X4 Kembara Selangor.

Selain itu, acara bermula jam 7 pagi di Balai Berita NSTP Bangsar di sini turut diselangi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk acara agihan pulut kuning dan cenderahati pelancaran konvoi serta dimeriahkan dengan kehadiran maskot Hang Omar Timor.

Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, walaupun program diadakan dengan notis singkat, pihak Suara Komuniti BH terharu dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada komuniti setempat.

PESERTA dibawa makan angin sebelum disunatkan.

Beliau berkata, Jom Berkhatan yang julung kali diadakan ini secara tidak langsung menjadi platform kepada BH mendekati masyarakat setempat dan berdasarkan sambutan itu, BH bersedia meluaskan limpahan manfaatnya dengan meneruskan program sama pada masa depan.

“Peluang berkhatan secara percuma ini sedikit sebanyak diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan keluarga peserta yang majoritinya daripada golongan berpendapatan rendah atau B40, khususnya sebelum bermula sesi persekolahan 2019,” katanya.

Terdahulu, majlis perasmian program Jom Khatan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Pengerusi Penganjur Jom Berkhatan, Wan Abdillah Wan Nawi berkata, untuk menyempurnakan program lima stesen dibuka oleh Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri untuk melancarkan urusan khatan semua 50 kanak-kanak terbabit.

“Bagi memastikan semua kanak-kanak tidak membuat ‘drama’ pihak sukarelawan turut menggunakan pelbagai pendekatan untuk memberi keselesaan kepada mereka termasuk menghadiahkan gula-gula sebagai habuan ketika menunggu giliran,” katanya.

GELAGAT kanak-kanak yang ditenteramkan badut jemputan sebelum proses berkhatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 6:01 AM