FOTO hiasan
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


PESARA guru wanita bukan sahaja kerugian barangan berharga RM1,500, malah menerima empat jahitan di kepala akibat menjadi mangsa ragut di Taman Sentosa, Bakar Arang, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian pada 5 petang itu, mangsa, 65, sedang melintas jalan untuk pulang ke rumahnya sebelum tiba-tiba datang dua lelaki menaiki motosikal menghampirinya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek meragut beg tangan mangsa mengandungi telefon bimbit jenama Asus, wang tunai RM15 dan jam tangan.

Menurutnya, sebaik berjaya merampas beg tangan itu, suspek terus melarikan diri sementara mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan di kepala.

“Dia yang cedera kemudian menerima rawatan di sebuah klinik berhampiran dan terpaksa menerima empat jahitan di kepala.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan suspek kini diburu bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 10:36 PM