AHLI keluarga bergambar kenangan sempena Hari Silaturahim Keluarga Haji Ismail di Sepang, hari ini. FOTO Ihsan Keluarga Haji Ismail
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


SERAMAI 264 ahli keluarga Haji Ismail Yusof mengadakan Hari Silaturahim bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama mereka, hari ini.

Pengarah program Mohd Ajib Ismail berkata, acara dwitahunan itu dihadiri sanak saudara dari seluruh negara dan diadakan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, ia adalah inisiatif yang diambil seluruh ahli keluarga dalam usaha menjaga silaturahim dan mengenali lebih rapat antara satu sama lain.

“Ada dari generasi lama dan baru. Kami mahukan semua sanak saudara berkumpul dan menjayakan aktiviti bersama. Sekurang-kurangnya ia boleh diingati untuk tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkata, pelbagai acara diadakan termasuk sukaneka dan acara sukan untuk keluarga.

“Alhamdulillah, biarpun masing-masing mempunyai kekangan jadual yang padat, namun mereka tetap memanfaatkan masa bersama. Insya-Allah, kami akan bertemu lagi pada 2020,” katanya.

Ismail dilahirkan di Sungai Besar Selangor pada 1901 dan menjadi pakar rujuk agama bagi masyarakat di sekitar Sabak Bernam.

Selain itu, beliau yang meninggal dunia pada 1986 juga adalah pengamal perubatan Islam dan tradisional yang dikenali di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 9:36 PM