MOHD Asmirul (depan) mengawal lalu lintas bagi membantu seorang warga emas yang terbabit dalam kemalangan di persimpangan Beris Jaya, Sik, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Aizat Sharif
cnews@nstp.com.my


WALAUPUN sibuk dengan tugasan rasmi, namun ia bukan penghalang kepada EXCO kerajaan negeri Kedah Mohd Asmirul Anuar Aris untuk membantu seorang warga emas yang terbabit dalam kemalangan di Beris Jaya, Sik, semalam.

Malah, keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Mohd Asmirul berkata, kejadian berlaku pada 5 petang ketika beliau bersama dua kakitangannya dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke FELDA Teloi Timur bagi menyaksikan perlawanan bola sepak bawah 12 tahun.

“Apabila melalui di persimpangan berkenaan, saya melihat seorang warga emas terbaring di atas jalan dipercayai baru sahaja terbabit dengan kemalangan.

“Melihatkan keadaan berkenaan, kami berhenti untuk menghulurkan bantuan segera dan apabila melihatkan kaki mangsa patah, saya terus menghubungi ambulans,” katanya.

Katanya, keadaan berkenaan memaksa mereka melewatkan kehadiran ke program yang ditujui.

“Kami ambil keputusan untuk jaga lalu lintas di situ kerana kereta yang lalu lalang sangat laju... jadi dalam 20 minit juga kami perlu menjaga lalu lintas.

“Kami harus jaga mangsa sementara menantikan bantuan tiba kerana di kawasan itu ada selekoh dan akan membahayakan mangsa lagi jika kawasan itu tidak dikawal,” katanya.

Beliau berkata, selain menunggu dan mengawal lalu lintas di kawasan itu, mereka juga meminta bantuan pada sekumpulan lelaki yang berada tidak jauh dari kawasan kejadian itu.

“Mujurlah ada anak muda di situ di mana kami minta bantuan mereka.

“Mereka ambil kon dan motosikal kemudian meletakkan di atas jalan supaya kenderaan dapat berhati-hati apabila melalui lokasi kemalangan itu kerana mangsa masih lagi terbaring,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 8:16 PM