Caption<GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


PENIAGA menanggung kesakitan apabila diserang 10 individu termasuk empat wanita selepas dituduh mencuri beg tangan milik seorang daripada suspek di sebuah hotel di Jertih, Selasa lalu.

Dalam kejadian pada 11 pagi, wanita berusia 24 tahun itu turut diugut dengan senjata menyerupai pistol, selain mendakwa dibawa ke sebuah kawasan lain dan dibelasah.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama suami dan rakan berada di dalam bilik sebuah hotel, sebelum didatangi sekumpulan individu termasuk empat wanita.

Katanya, suspek wanita dikatakan tiba-tiba memukul muka, tangan dan badan mangsa.

“Suami mangsa cuba menghalang perbuatan suspek dengan mengacukan pemutar skru, namun seorang lelaki mengacukan satu objek menyerupai pistol.

“Mangsa kemudian mendakwa dibawa ke kawasan lain dan dipukul sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, mangsa mendakwa suspek turut mengambil rantai leher dan gelang tangan perak dipakainya.

Beliau berkata, hasil siasatan mangsa mengaku ketika kejadian dia bersama suami dan rakan mereka sedang menghisap dadah.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila seorang daripada suspek kehilangan beg tangan dan mengesyaki mangsa bertanggungjawab atas kehilangan berkenaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami bengkak dan lebam di muka, lengan serta tangan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Katanya, mangsa yang positif amphetamine dan suaminya yang positif methamphetamine turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 8:11 PM