LOKASI rumah yang menempatkan sekumpulan warga Myanmar di Butterworth, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


POLIS menyelamatkan 19 warga Myanmar termasuk tiga wanita yang ditemui tidak terurus dalam sebuah rumah dipercayai dikurung bagi tujuan eksploitasi di Taman Teratai, Mak Mandin, Butterworth, hari ini.

Dalam kejadian pada 11 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara menyerbu premis itu sebelum menahan tiga warga Myanmar termasuk seorang wanita berusia 35 hingga 45 tahun dipercayai penjaga rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan menemui 19 warga asing warga Myanmar yang disembunyikan dalam bilik di tingkat atas rumah dalam keadaan bergelimpangan, tidak terurus dan tidak bermaya.

“Kesemua 19 imigran berusia 19 hingga 50 tahun berkenaan diselamatkan, manakala tiga individu warga asing yang dipercayai dalang dan tekong darat ditahan untuk siasatan.

“Ketiga-tiga mereka disiasat mengikut Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007, manakala 19 mangsa disiasat mengikut Akta Imigresen kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Menurutnya, polis juga merampas satu beg pinggang berwarna hitam, pelbagai anak kunci, tiga telefon bimbit, beberapa kad ATM, buku nota dan wang tunai berjumlah RM1,818.

Katanya, polis masih menyiasat pembabitan beberapa individu lain termasuk warga tempatan dan sedang mengenal pasti tujuan kesemua warga asing berkenaan dibawa masuk ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 7:30 PM